andai ini takdirnya utkku

Thursday, January 29, 2009

bila angin malasku datang

Minta maaf ya kawan-kawan Kak Awwa dah malas nak up date blog. Insya Allah kalau Kak Awwa rajin dan ada idea Kak Awwa update. Buat masa sekarang banyak benda nak kena selesaikan dulu...apa-apapun biarlah rahsia. Yang pasti Kak Awwa bukan tak ada masa tetapi seperti yang Kak Awwa katakan, ada perkara yang lebih penting, yang harus Kak Awwa dahulukan. Wassalam.

Sunday, January 18, 2009

runsing

Malam tadi terima telefon dari kampung Kak Za dan mek bagitau ayah lelah teruk sebab di Kelantan sekarang ni tak kira siang dan malam sejuk. Dua tiga kali pergi ke hospital tetapi ayah masih begitu. Masa ayah datang di rumah Kak Awwa disember lalu okey saja tak ada lelah-lelahnya. Malahan naik baspun okey saja. Menurut kata Kak Za sejuk yang teramat sangat di kampung sekarang ni. Kak Awwa suruh ayah minum minyak habbatu sauda bercampur dengan madu supaya dapat memanaskan badan. Memang ayah agak payah hendak makan ubat itu dan ini. Kata mek tak payah balik lah. Kalau nak dikutkan betapa risaunya Kak Awwa.
Dari jauh Kak Awwa berdoa semoga ayah sihat seperti biasa.........

Misal kata kalau terjadi apa-apa..(minta jauhlah tetapi sesuatu tidak dapat di jangka). Kak Awwa kena bersiap jiwa dan mental untuk menghadapi segala kemungkinan. Semoga ayah akan sembuh dan semoga Allah panjangkan umurnya kerana bagi Kak Awwa emak dan ayah adalah segalanya. Tanpa mereka tiada erti rasa hidup ini.

Selalunya bila Kak Awwa runsing Kak Awwa akan telefon Hafiz berkongsi dengan dia, dia anak Kak Awwa, dia lebih memahami Kak Awwa. Semakin meningkat usianya semakin dia dekat dan rapat dengan ayah dan ibunya, dialah kawan yang paling terdekat, tanpa dia tak taulah suramlah hidup Kak Awwa. Semalam baru habis baca novel yang di pinjamkan dari Lea kembalikan cintaku. Seronok baca novel-novel Kak Yati. Bila di tanya bagaimana manuskrip Kak Awwa dia senyap dan Kak Awwa sudah berhenti mengharap. Kalau ada rezeki adalah kalau tak ada, Kak Awwa harus terima hakikat yang Kak Awwa kena belajar lagi..............

Tuesday, January 6, 2009

posting pertama di tahun baru

Rumah mek di naiki air penuh air di dapur sampai ke paras betis. Itulah lebih kurang sms dari anak buah Kak Awwa.. Zulaikha.

"Ya Allah nak kena pindah ke"? Itulah balasan Kak Awwa kepada Zulaikha.
"x taulah kitorang duk tengah kemas baranglah ni, air tengah naik." Sms Zulaikha menyusul lagi...

Malam itu Kak Awwa tak senang duduk, maklumlah hampir enam tahun rumah ibu bapa Kak Awwa tidak di naiki air. Puas sudah Kak Awwa telefon ke kampung namun semua hp dan telefon rumah di tutup. Lalu Kak Awwa sms kakak di Tanah Merah. Kata kakak tak pindah lagi kot. Pagi esok Zulaikha sms lagi menyatakan air sudah surut, alhamdulillah.

5 Januari 2009

Mungkin ada di kalangan sahabat-sahabat yang menghantar anaknya ke sekolah pada tarikh tersebut. Kak Awwa terkenang ketika Hafiz mula-mula masuk tahun satu di Sekolah Kebangsaan Bandar Countryhomes. Mungkin kalau orang lain ibu yang menghantar anaknya yang pertama kali memasuki alam persekolahan. Tetapi tidak bagi Hafiz. Ayahnyalah yang menghantarnya. Begitu juga ketika bersekolah tadika. Tetapi Kak Awwa amat bersyukur kerana Hafiz tidak banyak kerenahnya, dia bagaikan faham bagaimana keadaan ibunya. Mungkin juga dia sudah banyak bergaul ketika bersekolah tadika. Banyak kenangan suka duka pahit manis yang pernah kami lalui. Kalau nak toleh kebelakang tu banyak sangat kenangan.

Yang Kak Awwa tidak lupa, Hafiz pergi ke sekolah agama dengan seorang jiran yang baik hati. Dia belum biasa untuk melintas jalan, jadi Kak Awwa benar-benar berharap kepada kakak itu. Kakak itu pula baik orangnya biarpun dia seorang pendiam. Kak Aisyah itulah namanya. Dialah yang memimpin tangan Hafiz bersama anaknya, dialah yang memayungkan Hafiz tatkala hari panas dan hujan ketika pulang dari sekolah agama. Bukan tidak ada van tetapi sekolah agama dekat sangat dengan rumah berjalan kaki tak sampai sepuluh minit. Nak biar dia bersendirian bimbang pulak kerana kereta dan bas banyak. Kak Awwa benar-benar terhutang budi kepada Kak Aisyah, tetapi sayangnya Kak Aisyah juga entah pindah ke mana. Di sana ramai insan yang perihatin kepada kami. Kak Salina dan suaminya. Kak Salbiah, Kak Asmi dan Nurhanisah akan mengambil Hafiz dari van bila hujan lebat, kerana bimbang melalui longkang besar kata mereka. Budi baik mereka Allah sahajalah yang membalasnya.

Banyaknya kenangan suka duka membesarkan Hafiz dalam keadaan ibu bapa yang kurang upaya. Tatkala dia di tahun satu dan dua, dia seringkali tidak hadir ke sekolah kerana dia di serang astma. Masuk wad keluar wad. Alhamdulillah kini dia jarang sekali di serang astma.Cepat besar anakku...semoga menjadi anak yang taat kepada Allah, kedua ibu bapa dan berjaya dunia dan akherat.Membesar di dalam keadaan dunia yang semakin mencabar membuatkan hati ini berasa gusar. Ya Allah selamatkan anakku walau di mana saja dia berada...........

Malam tahun baru....dari berbagai arah bunga api berdentam dentum di persekitaran rumah Kak Awwa. Mungkin juga datangnya dari Ambank dan hotel-hotel yang berdekatan dengan Section 11. Malam tahun baru tu Kak Awwa langsung tak teruja hendak melihat bunga api. Kata suami Kak Awwa tak nak tengok bunga api ke? Hampir empat tahun tinggal di sini, itulah yang berlaku setiap kali tibanya tahun baru. Tidak payah bersusah-susah untuk melihat bunga api. Lagipun tidak ada apa yang menariknya bila memikirkan nasib umat islam di Palestin yang di hujani bom-bom dan peluru yang bertali arus dari berbagai sudut. Sedangkan kita di Malaysia bagaikan berpesta menyambut tahun baru dengan segala macam maksiat. Nauzubillah......

Duka Palestin ke manakah hendak mengadu? Aduhai sebak dan pilu hati ini amat di rasai tatkala melihat gambar mangsa-mangsa kekejaman rejim zionis. Kanak-kanak menjadi mangsa lidah kelu tak terkata tatkala melihat wajah-wajah yang tidak berdosa kaku tidak bernyawa bermandikan darah. Aduhai kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan fitrah yang suci bersih bersama wangian syurgawi nan abadi. Tidak ada daya upaya melainkan dengan kuasa Allah yang Maha Tinggi. Suatu ketika nanti bangsa zionis akan hancur jua. Bagi umat islam di Palestin tiba saatnya dengan izin Allah S.W.T pasti akan beroleh kemenangan. ALLAH HU AKBAR ALLAH HU AKBAR ALLAH HU AKHBAR.