andai ini takdirnya utkku

Wednesday, January 30, 2008

bulan purnama


Hobi aku merenung bulan, selalunya jendela di kamarku tidak pernah aku tutup biarpun di waktu malam kerana aku ingin melihat bulan dari celah-celah pokok jambu batu di belakang rumahku. Memang indah ciptaan tuhan di kurniakan hamba-NYA bulan dan matahari. Aku juga suka melihat matahari yang terbenam...memang cantik. Teringat lagu dari Allahyarham Tan Sri P Ramlee kau laksana bulan. Aku suka lagu tu.....
Aku akan tersenyum girang bila aku dapat melihat bulan di sebalik jendela kamarku. Aku pasti akan berlama di situ melihat bulan. Bulan dikau selalu menemaniku di saat aku rasa kesunyian. Hadirlah wahai bulan menemaniku selalu. Kekadang jiwa yang gundah akan rasa tenang bila kita melakukan sesuatu yang kita suka. Begitu juga dengan aku...........

Besok Hafiz pulang

Kalau nak di ikutkan 6 Februari ini genaplah sebulan anakku Hafiz tinggal di asrama. Besok merupakan hari wilayah, anakku akan pulang ke rumah. Alhamdulillah akhirnya dapat juga aku bertemu dengannya setelah tiga minggu aku tidak melihat wajahnya dek kesukaran aku untuk ke sana, hanya berbual melalui telefon sahaja tatkala ayahnya pergi menjenguknya. itu sahajalah untuk melepaskan rindu ini...

Hari sabtu lepas suamiku pergi menghantar jug untuk masak air. Bila dia menelefon aku berlainan sekali suaranya seakan serak kedengarannya. "Hafiz tak minum air ke? Hafiz kurang minum air tu, Hafiz batuk ke?" Selalunya kalau di rumah akulah yang menyuruhnya minum air suam banyak-banyak, kerana dia kalau kurang air batuknya tak henti-henti. Itulah yang merisaukan aku.

"Hafiz batuk sikit-sikit aje ibu...suara Hafiz ni biasa aje..tetapi kawan Hafiz juga perasan dengan suara Hafiz. Hafiz nak besar kot bu"?. Kalau mengikut bulan hijrah 10 safar ini usia Hafiz genaplah tiga belas tahun, tetapi kalau ikut tahun masihi 8 July usianya genap tiga belas tahun.

alhamdulillah Hafiz sudah pandai menyesuaikan dirinya, katanya kain baju di cuci sendiri, dia tak mahu hantar ke dobi. Katanya dia juga mempunyai abang-abang angkat yang baik. Alhamdulillah lega hatiku mendengarnya. Menurut kata suamiku teman-teman sebilik Hafiz semuanya baik-baik. Pelajar-pelajar yang sudah boleh menghafal tiga puluh juzuk Al Quran sudah boleh jadi imam di bolehkan membawa hp. Erm...Hafiz lambatlah lagi, selepas tiga tahun insyaallah. Doaku semoga semuanya berjalan dengan lancar, semoga anakku cepat menghabiskan hafazannya........seterusnya untuk melangkah lebih jauh lagi insyaallah. Biarpun perjalananmu masih lagi jauh nak..tetapi ibu percaya dengan berkat usaha dan doa dirimu akan memperlehi kejayaan yang cemerlang, apa lagi setiap detik dirimu bersama denga Al Quran. Kalau tidak sebelum ini tv, komputer, games, hp. Kini semuanya itu sudah lenyap dalam hidupmu buat sementara waktu sahaja nak. Syukur ku panjatkan kepadamu ya Allah kerana mengurniakan aku seorang zuriat, moga menjadi anak yang soleh penyejuk mata ayah dan ibumu.

Sunday, January 20, 2008

Wajah-wajah sayu hafiz











ya Allah jadikan anakku anak yang soleh dan hambaMU yang bertakwa











Hidup ini memerlukan pengorbanan, berkorban apa saja harta ataupun nyawa. Biarpun perjalananmu masih lagi jauh tetapi ibu tetap mendoakanmu anakku.......Relaku menunggumu sampai ke akhir hayatku.............semoga menjadi INSAN.........


Saturday, January 19, 2008

Ya Allah! hamba MU ini hampir berpatah hati!


Sememangnya manusia itu bersifat dengan segala kekurangan, namun kekurangan tersebut tidaklah menyebabkan ia berasa berpatah hati atau berputus asa dengan ujian yang melanda, maksud firman Allah;

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. "Surah Aali Imran ayat 139.

Semalam 19 Januari 2008 bersamaan dengan 10 muharam niat hati hendak pergi menziarahi anakku di asrama, tetapi ku hanya merancang tuhanlah yang menentukan, kemana aku hendak pergi mesti aku bergantung dengan suamiku 100%. Dari mencari teksi pergi dan balik begitulah aku. Tetapi aku harus bersyukur kerana suamiku masih lagi di beri kudrat untuk gagahi jua demi aku biarpun aku sedar kekadang suamiku aku juga sakit, kalau tidak pernyakit lamanya kakinya yang sakit. Ketika ini kepada siapalah lagi yang harus aku meminta pertolongan kalau bukan denganNYA?

Selepas bersiap suami aku rasa nak pitam lututnya yang sudah lama sakit tiba-tiba sakit lagi, aku tahu kenapa dia sakit lutut kerana banyak berjalan dan faktor umur yang menigkatpun mungkin. Katanya tak dapat hendak menziarahi Hafiz kerana dia memang tak berdaya, bukan hanya hari ini tetapi dua tiga hari sebelumnya dia tak berapa sihat.

Aku tak dapat nak tahan air mata aku menangis dan menangis bila mengenangkan anakku. Mulutku tidak pernah lekang dari menyebut "LAA HAULA WALAA QUWWATA ILLAA BILLAAHIL ALIYYIL AZHIM (tiada ada daya dan kekuatan melainkan dengan ALLAH YANG MAHA TINGGI dan MAHA BESAR". Itu saja yang dapat menguatkan semangat aku, bila mengenangkan nasib terlempar jauh dari ibu bapa dan keluarga terkenang kepada ibu dan ayah di kampung.

Lalu adalah orang yang tidak pernah faham apa masalah kami apa yang menimpa kami dan kenapa kami begini dan begitu. "Dah nak dapat lesen kereta ( dah lama tak pergi belajar) belilah kereta tu senang nak kemana?" Owh memang kami nak belipun nak beli sangat-sangat, tetapi itu masalah kami hanya kami saja yang tahu orang lain tak tahu lebih baik jangan buat andaian begitu dan begini, aduhh jawapan apa ni kemain bunyinya macam kasar aje...hmm tak pernah cakap macam tu pun. Ada benda yang boleh kita kongsi dan ada benda kita tak dapat nak kongsi. Wah....... jawapan itupun tidak cukup lagi...ada lagi dan lagi..tanyalah tapi jawapannya tetap sama hahahaha.

Hari ini ahad 20 Januari 2008 bersamaan dengan 11 Muharram 1429 hijrah sudah dua minggu anakku tinggal di asrama. Pagi ini sekali lagi mehnah/ujian yang menimpa kami, kondisi suamikupun tidak begitu baik, tetapi demi anakku dia gagahi jua untuk ke sana. Sedangkan aku hanya di rumah oleh sebab-sebab yang tidak dapat di elakkan biarpun rindu mencengkam di jiwa namun aku kuatkan hati ini. Suamiku tercari sesuatu tak jgua jumpa, kad pengenalannya pula tak ada, kemana menghilangnya? semalam ketika dia pergi menghalau anjing yang masuk ke halaman rumah kami dengan memboloskan dirinya di celah-celah gate dia terjumpa name tagnya di situ. Ahh....mungkin juga ianya terjatuh dari saku seluarnya ketika menarik kunci tetapi ICnya dimana? Gawat nih tak jumpa habis di geledah cari situ sini tak jumpa dia kata semalam ada lagi. Tetapi dia perasan ketika dia terjatuh di atas LRT semua barangnya ada? Cari jugak tak jumpa...tetapi demi anak tawakal saja pergi biarpun tiada pengenalan diri hanya ada kad OKU yang ada. Besok pergi ke office kot-kot tertinggal di atas mejanya,tetapi katanya tak pernah letak di atas meja. Semoga selamatlah suamiku ya Allah. Menurut kata suamiku ketika dia pergi di tabung haji dia ingat kad pengenalannya masih ada lagi...tetapi bila di cari tak jumpa juga. Esok tiada jalan lain melainkan pergi buat repot kad pengenalan hilang. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI RAA JI’UUN
. Bagaimana aku hendak menulis blog yang hepi-hepi kalau sejak akhir-akhir ini aku berhati walang. Insyaallah aku berdoa semoga semua kekalutan yang menimpa akan segera berlalu. Cepatlah besar anakku.......

Ya Allah, semoga kiranya aku dapat menyiapkan diri dalam menghadapi segala kengerian dengan LAA ILAAHA ILLAL LAAH ( tiada Tuhan hanya Allah) dan setiap kesedihan dan kedukaan MAA SYAA ALLAH (sesuatu yang sudah dikehendaki Tuhan). Setiap nikmat ALHAMDULILLAAH (segala puji bagi Allah). Setiap kelapangan dan cobaan ASY SYUKRU LILLAAH (syukur kepada Allah). Setiap yang mengherankan SUBHAA NALLAAH ( Maha suci Allah). Setiap dosa ASTAGFIRUL LAAH ( Aku meminta ampun kepada Allah). Setiap musibah INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI RAA JI’UUN (kita dari Allah dan kepada-Nya pula kita kembali). Setiap kesempitan HASBIYAL LAAH (cukup Allah tempatku berpegang). Setiap qadla dan qadar TAWAKKALTU ‘ALAL LAAH ( aku berpegang kepada Allah). Dan setiap dapat berbuat taat dan musibah LAA HAULA WALAA QUWWATA ILLAA BILLAAHIL ALIYYIL AZHIM (tiada ada daya dan kekuatan melainkan dengan ALLAH YANG MAHA TINGGI dan MAHA BESAR.

Awatnya sejak akhir-akhir ini aku pergi mana-mana blog termasuklah blog aku macam tempat luahan aje? kenapa tak tulis dalam dairi saja? Hmm....salah satunya untuk menjadi ikhtibar kepada semua orang dan satu lagi untuk berkongsi rasa dan pengelaman apa lagi kehidupan suka duka insan yang bergelar oku. Hidup mesti di teruskan biar apapun yang menimpa kerana semua yang terjadi dalam kehidupan kita merupakan ujian dari Allah s.w.t. Sabarlah aku sabar itu separuh dari iman........


Monday, January 14, 2008

sunyi sepi

Bila hati ini di ulit rindu kepada anakku tercinta maka inilah sahaja temanku di kala kesepian menghimpit diri. Ku pandang kanan kiri engkau tiada...air mata menitis laju di pipi. Inilah akibat rindu kepada anakku...sedih pilu terasa kosong seolah-olah dia pergi begitu jauh, biarpun dekat. Seminggu sekali (pun belum tentu dek kepayahanku) pertemuan tidak dapat untuk mengubat rindu dendamku kepada anakku. Sudah seminggu lebih dia tinggal di asrama. Setengah jam bersamanya terlalu singkat namun apakan dayaku rindu ini tidak akan padam sampai bila-bila. Aku akan terus menanti dan menanti, tiga tahun, lima tahun dan selamanya selagi nafas belum terhenti.

Seperti biasa bila aku on komputer aku terus ke blog orang tak kira yang aku kenal dan yang tidak aku kenal. Kalau ada bahan cerita yang menarik aku terus hinggap di situ. Semenjak anakku tinggal di asrama aku seakan sudah lupakan aktiviti di luar rumah, bukan aku tidak tahu banyak daun yang gugur tidak bersapu, lalang semakin tinggi dan banyak selalunya aku bersama anakku akan menguntingnya tetapi semenjak dia tinggal di asrama....aku rasa entahlah...akupun tak tahu nak cakap apa. Bila selalu bersama anak tiba-tiba dia berjauhan dengan aku, aku jadi rasa serba serbi tak kena. Buat itu salah dan inipun salah. Bukan aku lupa yang dia pergi menuntut ilmu dan kami perlu berkorban demi masa depannya. Tetapi kemungkinan juga kerana aku hanya mempunyai seorang anak ianya amat aku rasai kehilangan yang teramat sangat, dan untuk menghilangkan dengan sekelip mata itu bukanlah sesuatu yang mudah. Hari ini sudah seminggu lebih dia di sana. Tetapi aku bersyukur kerana rakan-rakannya di sana baik-baik semuanya. Itulah sebenarnya roh al Quran yang sentiasa melekat di jiwa anak-anak. Setiap waktu di isikan dengan membaca Al- Quran. Mudahan sempena tahun baru 1429 hijrah ini aku juga akan berhijrah demi anakku.

Setiap detik dan waktu aku tidak pernah lupa mendoakan kesejahteraan dan keselamatannya. kalau dulu aku leka dan lalai sedikit tetapi semenjak aku keseorangan di rumah aku rasa selalu ingin dekat dengan Maha Penciptaku. Mungkin jua semua ini adalah hikmahnya untukku. Terima kasih TUHAN.............



Saturday, January 12, 2008

jauh di mata dekat di hati

Hati ibu mana yang tidak rindukan anaknya? apa lagi anak yang tidak pernah berpisah dengan ibunya? Hari ini aku dan suamiku pergi menziarahi anakku. Kalau nak di ikutkan suamiku kerja hari ni, tetapi kerana aku sudah tidak tahan menanggung rindu kepada anakku, aku hendak ke sana juga. Naluri seorang ibu dapat merasakan yang anaknya juga merindui ibunya. Begitulah anakku sebaik ayahnya ke biliknya terus bertanya ibunya, bila saja si ayah mengatakan si ibu datang bersama, dia bergegas turun dari tingkat tiga menuju kearahku. Begitulah kasihnya anak kepada ibunya. Belas hati melihat anakku tatkala dia melihatku dia menangis sambil memelukku, dia menangis kerana rindu kan ibunya. Tetapi dia mengerti kepayahan ibunya untuk bertemu dengannya. Dia menangis kerana terlalu rindu bukannya kerana tak suka belajar di situ.......

Di kesempatan yang sedikit ini aku bertanya khabarnya kalau ada apa-apa masalah. Katanya tak ada masalah kat sini kawan-kawan semuanya baik, cuma rindu nak pulang ke rumah . Sungguh hiba hati melihat anakku. Tetapi apalah daya ibu nak ini semua untuk kebaikanmu, demi masa depanmu. Semoga menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Pertemuan kami hanya berlangsung selama setengah jam sahaja kerana diapun dah bersiap-siap hendak bersolat asar, manakala suamiku pula terpaksa pergi mencari teksi setelah teksi yang kami panggil tidak tiba. Biarpun seribu kepayahan demimu nak ibu akan tetap menemuimu. Anakku menyatakan hari ini dia begitu seronok dapat bertemu dengan ibu.

"ibu! Hafiz pergi solat asar dulu, Hafiz minta maaf kalau selama ini Hafiz banyak melakukan kesalahan". tersentuh hatiku bila dia berkata begitu dan sedih melihat wajah anakku yang sayu. tetapi seperti biasa aku kuatkan hati bila berhadapan dengannya padahal dalam hati aku menangis...malahan bila aku bersendirian di rumah aku menangis memanggil namanya, segala kenangan bersamanya tetap subur di hatiku. Selama tiga tahun, lima tahun dan seterusnya aku menjadi penunggumu kembali kepangkuanku...........

"Hafiz....kalau teksi sudah tiba nanti...kalau Hafiz selesai solat dan melihat ibu sudah tiada, itu bermakna ibu sudah pulang ke rumah". Kalau diikutkan hati ingin tunggu lebih lama lagi sehingga selesai dia bersolat asar...tetapi suamiku terpaksa pergi memanggil teksi kerana hujan sudah turun rintik-rintik dan bakal lebat memandangkan awan yang gelap pekat. Lagipun untuk aku bersolat di situ...agak sukar hendak ke surau di bahagiaan pelajar perempuan. Mahu tak mahu aku kena bersolat asar di rumah. Mengenang betapa payahnya aku untuk pergi melihatnya hatiku jadi walang. Ya Allah aku tidak pinta begini...andainya aku mempunyai sayap mahu saja aku terbang menemuimu nak. Tetapi apalah dayaku...apa yang aku harapkan semoga Allah berikan aku kesabaran dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan yang bakal mendatang. Segalanya aku terima ketentuan-Mu ya Allah, cuma aku mohon permudahkanlah segala urusan kami. Sepanjang perjalanan pulang aku dapat bayangkan yang anakku sedih bila melihat ibu dan ayahnya sudah pulang ke rumah. Sabarlah nak.....

Aku sedih kerana kepayahanku...itulah aku rasakan DEKAT TAPI JAUH. Hanya kesabaran yang membuatkan aku menjadi lebih kuat......tidak mengapa esok mentari bakal bersinar.


Tuesday, January 8, 2008

~Doa akhir tahun~


SALAM MAAL HIJRAH 1429

Semoga azam pada tahun ini akan tercapai hendaknya. demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugiaan melainkan orang yang beramal soleh. Dengan hadirnya tahun baru 1429 hijrah ini nampaknya bertambahlah lagi umur kita. itulah putaran masa terlalu pantas berlalu. Semoga sisa-sisa umur yang di pinjamkan ini tidak ku sia siakan. mudahan di tahun ini akan lebih baik berbanding dari tahun yang lepas. Apa yang aku harapkan semoga ada perubahan dalam diri ini seiring dengan usia yang semakin meningkat. Dari yang tak baik menjadi lebih baik insyaallah.

Wednesday, January 2, 2008

~Hari pertama persekolahan nostalgia lama~

Assalamualaikum....

Posting pertamaku di awal tahun 2008, tiada apa cerita yang menarik yang hendak aku kongsikan bersama kalian dek kesibukan mengurus keperluan anakku untuk memasuki ke asrama pada 6.1.2008 ahad ini. Rupanya banyak keperluan yang hendak di siapkan maklumlah ini pertama kali pengelaman menghadapi anak hendak ke asrama tentulah banyak yang perlu di sediakan. Hmm..nampaknya inilah pengelaman pertama dan terakhirku mengalami detik-detik begini. Tetapi tidak tahulah kalau di izinkan tuhan aku masih lagi melalui detik-detik indah ini untuk kali kedua dan seterusnya insyaallah.

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan untuk penggal satu sessi persekolahan 2008. Tentunya ibu bapa sibuk menghantar anak-anak mereka yang baru melangkah ke alam persekolahan. Terkenang saat Hafiz menjejaki kakinya ke tahun satu di Sek Keb Taman Desa2 Bandar Countryhomes awal tahun 2002 enam tahun lalu. Masih terbayang-bayang lagi detik itu, tatkala ibu bapa sibuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah aku tidak seperti ibu-ibu yang lain kerana aku tidak berpeluang untuk merasai detik-detik itu kerana Hafiz cuma di hantar ayahnya sahaja ke sekolah. Sebak dan terharu tidak dapat di bayangkan tetapi aku cuba kuatkan hati ini. Bukan tidak sayang anak tetapi keadaan yang tidak mengizinkan ketika itu. Alhamdulillah Allah maha mengetahui kerana Dia mempermudahkan urusanku. Hafiz di takdirkan tidak ada masalah untuk ke sekolah biarpun tiada sesiapa yang menunggunya, dia sudah biasa ke sekolah tadika sedari umurnya empat tahun lagi... mungkin juga dia memahami situsi ibu dan ayahnya bagaimana. Begitu juga ke sekolah agama pun tiada masalah kerana di Countryhomes ibarat kampung keduaku. Ada sahaja hamba Allah yang menolong Hafiz biarpun orang Indon sekalipun tetap prihatin dengan kami. Namun begitu terlalu banyak dugaan yang telah kami lalui.......tetapi alah bisa tegal biasa, terima apa sahaja ketentuan dari-NYA. Mudahan Allah permudahkan segala urusan kami dunia dan akhirat. Insyaallah aku akan merasai pengelaman menghantar anakku ke asrama ahad ini........